Media News

6th February 2020 - Majlis Sains Negara Bincang Strategi Mengarusperdanakan STI Ke Arah Negara Berteknologi Tinggi

4 Februari 2020, PUTRAJAYA – YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah Mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Sains Negara bagi tahun 2020 pada 3 Februaru 2020 sebagai bukti komitmen Kerajaan dalam memacu bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) di Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi. Dalam ucapan pembukaannya YAB Perdana Menteri menekankan sumbangan sains dalam kehidupan harian dan pentingnya sains untuk pembangunan negara. Beliau juga menyarankan supaya tumpuan diberikan kepada pembentukan pemikiran saintifik (mindset) dan pembudayaan STI di kalangan rakyat dalam semua aspek kehidupan. Ini dapat dilaksanakan bermula dari alam persekolahan dengan pembangunan kurikulum dan pedagogi yang bersesuaian dan inovatif.

Majlis turut bersetuju agar kolaboratif antara pihak kerajaan dan industri berteknologi tinggi diperluas supaya negara dapat meningkatkan jumlah penyelidikan prapengkomersialan yang menumpukan kepada experimental development bagi menghasilkan inovasi yang berimpak tinggi. Buat masa ini, Malaysia memperuntukkan 14.6% daripada keseluruhan peruntukan R&D negara bagi experimental development berbanding negara-negara jiran seperti Thailand (51.7%) dan Singapura (48.3%).

Kerjasama kolaboratif terbukti berkesan melalui model Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) yang diadaptasi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Zon Utara Semenanjung Malaysia. Kolaborasi ini diperluaskan ke empat sektor iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan, Fintech dalam Kewangan Islam (Perkhidmatan), Industri 4.0 (Pembuatan) dan Rangkaian Bekalan Halal di bawah program i-Connect MESTECC.

sourced from: Portal Rasmi